Sunday, June 21, 2009
Kursus Sembelihan & Gotong-Royong PIBG
Bagan Terap, 22 Jun - Satu usaha sama di antara PIBG dengan pihak sekolah telah diadakan bagi menganjurkan Program Sembelihan dan Gotong-Royong di sekolah pada pagi Sabtu, 21 Jun 2009. Program yang julung-julung kalinya diadakan ini menyaksikan penyertaan dari semua warga SAMBT dan ibu bapa termasuk AJK PIBG SAMBT 2009-2011.
Program ini dimulakan jam 8.30 pagi dengan mengadakan perhimpunan bagi agihan tugas serta taklimat ringkas oleh Setiausaha PIBG, En. Ahmed Noor Shafiq b. Abd. Rahman. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Projek Tanaman Herba, Sembelihan dan Gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran serta bangunan sekolah.
Program ini dikategorikan kepada dua iaitu menengah rendah dan menengah atas. Bagi menengah rendah mereka ditugaskan untuk melaksanakan aktiviti penanaman herba dan gotong-royong. Manakala bagi menengah atas, aktiviti sembelihan dan memasak dijalankan. Sebelum pelajar-pelajar menengah atas melakukan sembelihan, mereka diberikan taklimat mengenai cara-cara dan adab sembelihan menurut Islam oleh Ust. Kamat, seorang penceramah bebas di Sabak Bernam.
Sembelihan ayam tersebut dilakukan sendiri supaya teori yang telah disampaikan dapat dipraktikkan oleh pelajar. Hasil sembelihan diserahkan kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk memasak diketuai oleh Pn. Raba'ah. Ust. Ibrahim tidak ketinggalan membantu dalam masakan tersebut.
Aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut berjalan lancar dan berakhir lebih kurang jam 1.30 tengahari. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat. Semoga anjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara ibu bapa, guru dan pelajar dari masa ke semasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment